“Nasi lemak daun pisang”
Oleh: Azieyana Aziz
Cikgu
Zainah masuk ke dalam bilik guru dengan senyuman manis yang tidak lekang dari
bibirnya. Al-maklum sajalah, hari itu merupakan hari jadinya yang ke 24 tahun.
Sebagai seorang guru baru dan muda di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Melati,
Cikgu Zainah memang menjadi guru kegemaran para pelajar. Semalam sahaja, Cikgu
Zainah sudah mendapat puluhan pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp yang mengucapkan selamat atas
ulang tahun kelahirannya.
Cikgu Zainah melangkah masuk ke
kelas Tiga Arif . Masuk sahaja beliau, semua murid terus bernyanyi lagu
“Selamat Hari Jadi”. Walaupun lagu itu sudah menjadi lagu klise, Cikgu Zainah
tetap berasa gembira.
“Lagu saja? Hadiah untuk Cikgu tak
ada?” Cikgu Zainah tersenyum-senyum. Afiqah dan Azra yang duduk di belakang
juga ikut tersenyum. Mereka terus berdiri dan berjalan ke hadapan kelas sambil
membawa kotak hadiah untuk diberikan
kepada Cikgu Zainah.
“Selamat hari jadi cikgu. Hadiah ni
daripada kami sekelas” Afiqah dan Azra memberikan hadiah tersebut kepada Cikgu
Zainah.
“Ya Allah, terima kasih semua. Baik
anak murid cikgu.” Cikgu Zainah separuh terkejut kerana dia hanya berseloroh
meminta hadiah. Tidak sangka para pelajarnya betul-betul telah menyediakan
hadiah untuknya.
“Baiklah kelas, lupakan hari jadi
cikgu. Hari ni kita akan sambung topik yang kita berhenti minggu lepas. Semua
buka buku teks muka surat 73.” Walaupun Cikgu Zainah seorang yang periang dan
baik hati, tetapi beliau tetap tegas dalam mengajar. Sesiapa yang tidak membawa
buku teks selalunya akan didenda berdiri sepanjang kelas. Sebab itu, semua
murid akan sentiasa membawa buku teks mereka.
Sesi pengajaran pagi itu berjalan
dengan lancar kecuali satu perkara. Sarah, pelajar yang duduk paling hadapan
dan merupakan pelajar yang paling rajin menjawab soalan apabila ditanya diam
sahaja pagi itu. Cikgu Zainah yang perasan mengenai tingkah laku Sarah hanya
memerhatikan riak wajah Sarah. Sebelum Cikgu Zainah keluar daripada kelas,
Sarah tiba-tiba datang menghampiri Cikgu Zainah yang sedang duduk di meja guru.
“Cikgu, cikgu nak hadiah?” soal
Sarah perlahan.
“Nak, Sarah ada hadiah nak bagi
cikgu ka?” Cikgu Zainah berseloroh lagi. Sarah yang menyembunyikan sesuatu di
sebalik tudung perlahan-lahan mengeluarkannya.
“Cikgu, nah. Ini saja yang saya
mampu berikan. Lagipun, saya tak ada kongsi duit dengan mereka untuk belikan
cikgu hadiah tadi.” Mata Cikgu Zainah sedikit berair mendengar apa yang
dikatakan Sarah.
“Nasi lemak ni, Sarah beli ka?” soal
Cikgu Zainah cuba menahan perasaanya.
“Tak cikgu. Tu nasi lemak mak dia
buat tu. Sarah memang jual nasi lemak
setiap hari.” Akmal yang duduk di bahagian hadapan menjawab soalan Cikgu Zainah
tanpa sempat Sarah menjelaskan. Suara Akmal yang kuat itu menyebabkan seluruh
kelas kini tertumpu kepada Sarah dan Cikgu Zainah.
“Oh, Sarah jual. Baiklah, kalau
macam tu cikgu beli dari Sarah ya.” Cikgu Zainah mengeluarkan beg duitnya.
“Eh, tak apa cikgu. Itu hadiah dari
Sarah. Cikgu kan nak hadiah.” Sekali lagi Cikgu Zainah ingin mengalirkan air
mata. Tidak disangka gurauannya diambil serius pula oleh anak muridnya.
“Tapi nanti duit Sarah tak cukup.
Nanti mak Sarah marah?” Cikgu Zainah memandang Sarah.
“Tak marah. Mesti mak Sarah lagi
gembira. Mak Sarah cakap kalau kita bagi orang hadiah dan mampu menggembirakan
seseorang, kita akan dapat pahala. Nah cikgu. Ini hadiah dari Sarah.” Sarah
meletakkan sebungkus nasi lemak di atas meja Cikgu Zainah dan terus kembali
duduk di tempatnya sambil tersenyum.
Cikgu Zainah terkesima. Menyesal dia
bergurau ingin meminta hadiah. Dengan statusnya sebagai seorang guru, dia mampu
untuk membeli apa-apa yang diingininya. Nasi lemak berharga RM 1.50 sebungkus
itu terlalu rendah nilainya, tapi nilai itu sangat berharga untuk keluarga yang
hanya bergantung harap pada hasil jualan nasi lemak tersebut.
Cikgu Zainah melangkah masuk ke
bilik guru dengan perasaan bercampur baur. Setelah duduk, dia membuka bungkusan
nasi lemak menggunakan daun pisang itu. Disuapnya ke mulut. Sedap sungguh nasi
lemak yang dijual oleh Sarah. Ketika menikmati suapan kedua, Cikgu Mariam
datang menghampiri.
“Ni nasi lemak Sarah kan?” Soal Cikgu
Mariam.
“Ya, mana Kak Mariam tahu?” Cikgu
Zainah menyoal dengan wajah teruja.
“Akak selalu beli dari Sarah. Kesian
Sarah. Ayah dia dah lama meninggal. Dia ada empat orang adik beradik. Mereka
hidup dengan hasil mak Sarah jual nasi lemak ni lah.” Cikgu Mariam mengambil
tempat di sebelah Cikgu Zainah.
“Tahun lalu, kakak Sarah sekolah kat
sini juga. Suhana namanya. Akak selalu tolong Suhana jual nasi lemak dalam
bilik guru. Minta cikgu-cikgu lain beli. Sebabnya, Suhana perlu duit untuk
bayar yuran SPM. Sekarang ni tengah tunggu keputusan SPM keluar. Kalau ikutkan
keputusan percubaan, Suhana boleh jadi salah satu pelajar cemerlang sekolah.”
Sambung Cikgu Mariam lagi.
“Pandai budaknya. Sarah pun pandai
juga. Selalu bila saya soal, dialah yang akan jawab. Keputusan ujian bulanan
pun dia dapat A.” Cikgu Zainah bercerita dengan mata yang bersinar.
“Tulah Zai, selalunya budak yang
pandai-pandai ni datang daripada keluarga yang susah. Bila mereka kenal erti
kepayahan, mereka berusaha untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.
Tak sama macam budak-budak yang senang. Akak ajar tuisyen budak tahun enam,
pakai iPhone, tapi tak pandai pun.” Cikgu Mariam tergelak kecil, dan cerita
mereka berhenti tatkala loceng berunyi untuk masa ketiga.
Keesokan harinya, seperti biasa
Kelas Tiga Arif akan riuh pada waktu rehat kerana semuanya berebut ingin
membeli nasi lemak daripada Sarah. Bahkan, murid-murid dari Tingkatan Tiga
Bestari pun ada juga yang datang mencari nasi lemak yang dijual oleh Sarah.
Saat-saat sebegitu merupakan saat yang paling dinantikan Sarah kerana dia akan
membayangkan betapa gembira wajah ibunya menerima wang hasil jualan nasi lemak
tersebut.
Sedang Sarah menghulurkan nasi lemak
dalam keadaan dikerumuni, Zaini tiba-tiba datang, menolak pelajar lain yang
mengerumuni Sarah dan terus merampas beg plastik berisi nasi lemak yang dijual
Sarah. Dek kerana Sarah menggenggam kuat plastik tetsebut, beg plastik itu terkoyak akibat daya tarikan yang kuat
daripada Sarah dan Zaini. Nasi lemak yang terdapat dalam plastik itu jatuh dan
bertaburan di atas lantai. Suasana yang tadinya hingar-bingar kini senyap dan
sepi. Semua pelajar terlopong.
Perlahan-lahan Sarah tunduk mengutip
nasi lemaknya yang sudah tidak boleh dijual. Sedikit pun wajahnya tidak
diangkat dan memandang sesiapa. Hatinya hiba mengenangkan penat-lelah ibunya
memasak, tapi kini nasi lemak itu hanya menjadi rezeki lantai kelasnya. Zaini
menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Maaf Sarah. Aku tak sengaja.” Zaini,
pelajar dari Tiga Bestari mendekati Sarah . Dia memang sering membeli nasi
lemak daripada Sarah. Cuma, silap Zaini hari itu ialah dia merampas beg plastik
nasi lemak yang dipegang Sarah sehingga semuanya terjatuh.
Sarah tetap tidak mengangkat
wajahnya. Air matanya deras mengalir.
“Nah, aku ganti nasi lemak kau. Esok
aku bayar lagi. Kau janganlah nangis.” Zaini cuba memujuk dengan menghulurkan
not RM 10 kepada Sarah. Sarah masih tidak berkata apa-apa. Dia hanya merenung
Zaini tajam menyebabkan Zaini segera keluar daripada kelas tersebut selepas
meletakkan not RM 10 itu di sebelah Sarah.
Tengah hari itu, seperti biasa Sarah
pulang berjalan kaki dengan air mata yang sekejap-sekejap mengalir lagi di
pipinya. Sedihnya belum berjaya dirawat kerana dia tahu wang hasil jualannya
hari itu diperlukan untuk membayar bil elektrik mereka yang sudah tertunggak
selama dua bulan. Hasil jualan nasi lemak semalam digunakan untuk membeli ubat
adiknya yang sedang sakit
“Maafkan Sarah mak. Ini saja wang
yang Sarah dapat hari ini. Nasi lemak terjatuh. Tak boleh jual dah.” Sarah
menghulurkan wang RM 16 kepada ibunya. Air matanya mengalir lagi.
“ Macam mana boleh jatuh?” soal
ibunya dengan dahi berkerut.
“Ada budak kelas sebelah nak beli,
dia tarik plastik nasi lemak sampai koyak. Habis semua nasi lemak terburai
keluar dari daun pisang.” Sarah menangis teresak-esak. Sarah memang rapuh
hatinya jika dibandingkan dengan kakaknya Suhana. Suhana tidak berada di rumah
ketika itu. Sudah dua bulan kakaknya itu bekerja sambilan sementara menunggu
keputusan SPM keluar.
“Ala tak apa. Hari ni bukan rezeki
kita. InsyaAllah esok Allah akan ganti rezeki kita lebih banyak.” Sarah dibawa
ke dalam dakapan ibunya. Barulah Sarah berasa tenang.
“Tapi mak, bil elektrik kita macam
mana?” Sarah menyoal lagi. Ibunya hanya tersenyum.
“Mak dah bayar tadi. Nasi lemak yang
mak hantar ke Warung Mak Cik Kiah pun habis. Jadi, mak dah bayar bil elektrik
kita.” Ibu Sarah berjalan ke dapur, kemudian meniup dapur kayu apinya yang
hampir padam agar menyala semula.
“Kenapa mak masak guna kayu api?”
Sarah menyoal lagi.
“Oh, gas habis. Tak apa. Lepas Sarah
jual nasi lemak esok, adalah duit untuk mak beli gas. Untuk hari ni saja mak
masak guna kayu api. Dah, Sarah pergi tukar pakaian. Lepas ni kita makan dengan
adik.” Sarah melangkah ke dalam bilik dengan perasaan kesal. Kalau sahaja nasi
lemaknya tadi habis terjual, tentu sahaja ibunya tidak perlu bersusah-payah
memasak menggunakan kayu api.
Sepanjang berjalan kaki ke sekolah
pagi itu, Sarah berdoa agar nasi lemaknya akan habis terjual. Dan ternyata,
sepanjang waktu rehat Sarah berjaya menjual nasi lemaknya dan hanya berbaki
satu. Tapi tidak mengapa, kerana Zaini sudah memberikannya wang berjumlah RM 20
sebagai ganti rugi nasi lemaknya yang rosak semalam. Perjalanan pulangnya pada
tengah hari itu pula diganti dengan senyuman manis kerana Sarah tidak sabar
ingin memberikan wang kepada ibunya.
Cikgu Zainah yang baru sahaja keluar
daripada sekolah dengan memandu kereta Myvi memberhentikan keretanya di tepi
jalan saat terpandang Sarah yang sedang berjalan kaki di bawah panas terik
matahari.
“Sarah, mari cikgu hantar Sarah
pulang.” Jerit Cikgu Zainah selepas menurunkan cermin tingkap keretanya. Sarah
yang terdengar namanya dipanggil terus menoleh. Apabila dipandangnya Cikgu
Zainah, Sarah berjalan semula ke belakang.
“Apa dia cikgu?” Soal Sarah bila dia
datang menghampiri.
“Panas ni. Mari cikgu hantarkan
Sarah pulang. Rumah Sarah kat mana?” soal Cikgu Zainah lagi.
“Saya dah biasa cikgu. Lagipun rumah
saya dah dekat. Tu simpang tu. Lima minit dari simpang tu saya akan sampai
rumah.” Bibir Sarah dimuncungkan ke arah simpang yang jaraknya cuma lebih kurang
50 meter daripada mereka.
“Betul tak nak? Cikgu hantar sampai
simpang tu pun tak nak?” Cikgu Zainah hanya tersenyum. Sarah menganggukkan
kepala.
“Oh ya, hari ni nasi lemak Sarah ada
lebih satu. Cikgu nak?” Mata Sarah jelas memancarkan sinar kegembiraan sambil
tangannya mengeluarkan sebungkus nasi lemak. Cikgu Zainah yang sudah makan
sebelum pulang tidak sampai hati berkata tidak. Cikgu Zainah terus mengeluarkan
wang untuk membayar nasi lemak Sarah.
“Eh, cikgu, Sarah bukan nak jual.
Sarah nak bagi cikgu. Lagipun ni nasi lemak pagi tadi. Mana boleh jual untuk
tengah hari.” Sarah masih mengukir senyuman manis di bibirnya. Cikgu Zainah
tersentak lagi. Nasib dia tidak berkata yang dia sudah kenyang. Walhal Sarah
sekadar ingin memberi, bukan menjual.
“Baiklah, cikgu ambil. Tapi Sarah
kena ambil juga duit ni. Hari ni bukan hari jadi cikgu. Nah, Sarah jalan kaki
hati-hati tau. Assalamualaikum.” Wang dan nasi lemak terus bertukar tangan.
Sengaja Cikgu Zainah terus menutup tingkap dan meneruskan pemanduannya kerana
dia tahu, pasti Sarah tidak ingin mengambil wangnya jika dia masih
berlama-lama.
Sarah menggaru kepalanya yang masih
dibaluti tudung dengan kehairanan. Tapi setelah itu, Sarah tersenyum. Sarah
mengeluarkan wang yang diperolehinya pada hari itu dan mengiranya semula.
Sampai sahaja Sarah di simpang jalan memasuki kampungnya, tiba-tiba Sarah
ditarik oleh seorang lelaki. Lelaki yang kurus kering berumur awal 30-an itu
meminta wang yang ada pada Sarah. Sarah menendang kaki lelaki tersebut dan cuba
melepaskan diri. Beg Sarah berjaya ditarik membuatkan Sarah melepaskan beg
belakangnya dan terus berlari. Saat itu juga sebuah kereta Proton Iriz
melanggar Sarah kerana tidak sempat menekan brek apabila Sarah tiba-tiba muncul
daripada simpang tersebut.
Cikgu Zainah memandang cermin sisi
keretanya apabila terdengar bunyi brek mengejut serta melihat kereta lain
berhenti dan berpusu-pusu ke arah kemalangan yang berlaku. Walaupun Cikgu
Zainah sudah jauh di hadapan, tetapi entah mengapa hatinya kuat memberi arahan
untuk dia patah semula ke simpang tersebut.
Serta merta air mata Cikgu Zainah
mengalir bila terpandang Sarah yang berlumuran darah. Cikgu Zainah berlari
menghampiri Sarah yang masih dikerumuni oleh orang ramai. Sarah masih membuka
matanya. Dicapainya tangan Cikgu Zainah dengan kudrat yang masih bersisa.
“Cikgu…” tersekat-sekat suara Sarah.
“Sabar Sarah, sabar. Tolong call ambulans!” Cikgu Zainah separuh
menjerit. Air matanya masih mengalir deras.
“Cikgu, tolong beri duit ni pada mak
saya. Bagitau mak saya, saya minta maaf sebab selalu susahkan mak. Tolong
sampaikan duit ni pada mak saya ya cikgu.” Perlahan-lahan Sarah menuturkan
ayatnya. Wang di tangan kiri Sarah sudah diletakkan di atas riba Cikgu Zainah.
Perlahan-lahan juga mata Sarah tertutup. Cikgu Zainah menggoncang tubuh anak
muridnya. Malangnya, tidak ada pergerakan langsung daripada Sarah, kerana saat
itu Sarah sudah tidak lagi bernyawa.
No comments:
Post a Comment